Sesebuah
institusi keluarga wujud adalah disebabkan berlakunya suatu ikatan perkahwinan.
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang
teguh di antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah untuk
menjalani kehidupan rumahtangga sebagai suami dan isteri. Perkahwinan yang
disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui
cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia
dan di akhirat. Keluarga merupakan satu komponen penting
dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan seterusnya membentuk sebuah negara.
Tanpa institusi kekeluargaan,
pembentukan sesebuah negara tidak akan sempurna. Islam memandang institusi
kekeluargaan sebagai sebuah institusi yang akan menjadi pencorak kepada
masyarakat yang bakal dibina. Dalam agama Islam, tanggungjawab sebagai ketua
keluarga pada asasnya terletak di bahu kaum lelaki. Institusi keluarga
merangkumi semua ahli keluarga yang berada di dalam sesebuah kumpulan
masyarakat yang mempunyai hubungan darah atau dengan kata lain disebut
bersaudara. Kita biasa mendengar ungkapan ini, “Keluarga bahagia, Negara
Sejahtera”. Sebenarnya ungkapan yang cukup ringkas ini mempunyai makna yang
amat besar bagi masyarakat kita khususnya generasi muda hari ini.
Pada zaman teknologi yang serba canggih
ini, semakin ramai manusia Islam yang telah jauh menyimpang daripada landasan
Islam yang sebenar. Tiada lagi manusia yang mengamalkan nilai-nilai moral dan
kemanusiaan yang terkandung di dalam al-Quran. Nilai moral kini sangat berubah
dan menyimpang. Hal ini amat membimbangkan kerana anak-anak sekarang merupakan
pemimpin masa hadapan. Sebuah institusi keluarga yang
terbentuk dalam kumpulan masyarakat boleh memberi kesan kepada kesejahteraan
negara.
Konsep lain yang boleh diketengahkan bagi
melambangkan kepentingan sebuah institusi keluarga yang bahagia adalah seperti
anggota badan dengan kesihatan tubuh
badan kita. Anggota badan umpama sebuah negara dan kesihatan tubuh badan umpama
sebuah institusi keluarga. Tanpa tubuh badan yang sihat, anggota badan akan
menjadi lemah tidak bermaya. Begitu juga dengan negara kita, tanpa sebuah
institusi keluarga yang bahagia maka
negara akan mengalami kepincangan atau dalam kata lain tidak sempurna kerana
sebuah negara itu memerlukan masyarakat yang berkebolehan, berfikiran jauh,
mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan sebagainya.
Masalah yang timbul dalam institusi
keluarga boleh menyebabkan gangguan dalam pembentukan diri seseorang dari segi
fizikal mahupun mental. Institusi keluarga amat penting dalam pembentukan
masyarakat yang sejahtera dan negara yang membangun. Antara peranan penting
institusi keluarga menurut Islam adalah untuk pengekalan dan penerusan umat manusia. Apabila wujudnya
sebuah institusi keluarga maka akan lahir generasi baru hasil daripada ikatan
perkahwinan yang sah iaitu zuriat atau cahaya mata (anak). Selain itu,
institusi keluarga juga berperanan sebagai perlindungan akhlak dan tatasusila
apabila seorang ketua keluarga(bapa) bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarganya iaitu isteri dan
anak-anaknya supaya mematuhi ajaran agama dan menggalakkan mereka berkelakuan
baik dan bersopan santun. Institusi keluarga juga dapat menjamin sosial dan ekonomi
apabila melahirkan generasi baru yang
bijaksana apabila mereka mampu
memantapkan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.
Kelonggaran
pegangan agama menjadi punca utama kepada keruntuhan institusi keluarga. Terdapat
beberapa faktor lain yang menyebabkan keruntuhan institusi keluarga antaranya ialah
tiada persefahaman antara suami isteri, tidak berusaha mewujudkan sikap
bertolak ansur antara satu sama lain, tiada komunikasi yang baik dan banyak
lagi. Tetapi di sini, faktor utama yang akan dikupas adalah berkaitan dengan
kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah keluarga yang kebanyakannya terjadi
pada masa kini.
Sebagaimana yang kita ketahui, setiap manusia mempunyai pegangan agama
masing-masing sama ada seseorang itu menganut agama Islam, Buddha, Hindu,
Kristian dan sebagainya. Semua agama mengajar penganutnya melakukan perkara
yang baik dan taat kepada setiap ajarannya. Dalam institusi keluarga, pegangan
agama yang kukuh dapat menjamin keutuhan rumah tangga serta kebahagiaan di
dunia dan di akhirat. Malangnya, kebanyakan masyarakat tidak mengamalkannya.
Punca berlakunya kelonggaran pegangan agama
dalam sesebuah institusi keluarga adalah disebabkan kurangnya pengetahuan ilmu
agama dalam diri seseorang. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan
setiap ahli keluarga mereka mentaati agama yang dianuti. Sebaliknya yang
berlaku pada masa kini, mereka lebih mementingkan kerjaya dan kesenangan di
dunia tanpa memikirkan soal agama. Era pembangunan kini, kebanyakan ibu bapa
tidak mementingkan ilmu keagamaan, mereka lebih mementingkan kebendaan dan
kemewahan dunia berbanding di akhirat. Ini menyebabkan anak-anak tidak tahu
batas-batas pergaulan yang sewajarnya. Justeru itu, terjadilah pergaulan bebas,
kurang nilai-nilai murni dan sebagainya, ini menyumbangkan kepada gejala
pembuangan bayi.
Mereka seolah-olah mengikuti pemikiran
pasca-modenisme yang merupakan satu bentuk pemikiran manusia yang tercetus
sejak seabad yang lalu. Ini adalah kerana pemikiran ini khususnya kepada
pemikiran barat dan pemikiran kepada akal manusia semata-mata bagi meneruskan
kehidupan di dunia tanpa berpandukan kepada agama dan tuhan untuk memahami
kepada kebenaran kehidupan hanyalah bergantung kepada penekanan rasional manusia semata-mata.
Antara
punca lain kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah masyarakat adalah
disebabkan kurangnya didikan agama dalam diri. Malahan ajaran agama yang sedia
ada tidak dihayati sepenuhnya. Mereka seolah-olah meletakkan agama di tempat
kedua manakala kemewahan dan kesenangan di dunia di tempat pertama. Kepentingan
kerjaya melebihi kepentingan agama dan keluarga. Bagi mereka mencari nafkah
adalah penting untuk membahagiakan keluarga tanpa mereka sedari yang anak-anak
memerlukan belaian dan kasih sayang dari mereka bukan harta dan kemewahan
semata-mata.
Ketekunan ibu bapa dalam bekerja sehingga lupa
akan kewajipan sebagai umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu , membayar
zakat, berpuasa dan sebagainya dengan alasan sibuk mencari nafkah. Apabila ibu
bapa sering tiada di rumah untuk pergi bekerja, anak-anak mereka akan merasa
kesunyian dan akan mencari sesuatu yang baru untuk menghilangkan rasa bosan
tinggal di rumah seorang diri. Akibatnya, ramai kanak-kanak dan remaja bawah
umur terjebak dengan gejala sosial dan pergaulan bebas. Mereka tidak diterapkan
dengan ilmu agama yang mendalam sehingga
sanggup melakukan perkara di luar batas agama.
Selain
itu, kejahilan ibu bapa dan diri sendiri untuk menuntut ilmu agama juga
menyebabkan kelonggaran pegangan agama dalam diri lemah sehingga mengakibatkan
keruntuhan institusi keluarga. Walaupun sedang bekerja, sebagai orang yang beragama
mereka seharusnya taat kepada kewajipan yang telah ditetapkan seperti dalam
Islam, solat apabila tiba waktunya. Sesetengah mereka beranggapan hanya
kanak-kanak sahaja yang perlu belajar ilmu agama. Rasa malu untuk mendalami
ilmu agama dalam usia yang meningkat menyebabkan mereka jahil akan kehidupan
mereka. Bagi mereka cukuplah sekadar tahu serba sedikit tentang agama dan tidak
perlu mendalaminya dengan lebih mendalam. Jadilah mereka seperti kata pepatah “
bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Dalam erti katalain, ibu bapa
yang tidak tahu tentang agama atau tidak mengamalkannya tetapi menyuruh anak-
anak mereka mempelajari dan menyuruh mereka taat mengamalkannya.
Masalah kelonggaran pegangan agama menjadikan remaja
semakin bermasalah. Sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian kepada mereka
menyebabkan sifat ingin memberontak timbul. Akibatnya, mereka gemar bergaduh
dan melakukan perkara di luar jangkaan seperti mengambil dadah, melakukan seks
bebas dan yang lebih parah
pembuangan bayi yang tidak sah
tarafnya. Ibu bapa juga menjadi stress akibat tekanan daripada masalah
anak-anak mereka serta kerja yang membebankan dan memenatkan. Iman yang lemah menyebabkan mereka tidak
dapat mengawal emosi sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.
Taraf
pendidikan yang rendah juga menyebabkan seseorang itu sering membuat keputusan
tanpa berfikir panjang yang akhirnya boleh meruntuhkan institusi keluarga.
Akibat daripada tidak berfikir panjang dalam menyelesaikan sesuatu masalah,
pergaduhan dalam keluarga akan sering tercetus. Selain itu, golongan yang
sebegitu sering menggunakan emosi dan kekerasan untuk menyelesaikan masalah
yang mereka hadapi. Berbeza dengan orang yang mempunyai taraf pendidikan yang
tinggi, mereka dapat memikirkan cara yang lebih baik untuk menyelesaikan
sesuatu masalah tanpa menggunakan emosi atau kekerasan.
Kemelut
rumahtangga yang melanda masyarakat melayu masa kini amat menyedihkan. Selain
daripada kes penceraian masalah penderaan anak-anak dan isteri, masalah
pembuangan bayi, pergaduhan suami isteri, nasib ibu bapa yang dihantar ke rumah
orang-orang tua dan banyak lagi masalah yang berkait rapat dengan keluarga dan
perkahwinan menyebabkan masyarakat berdepan dengan masalah keruntuhan akhlak
yang semakin serius. Malah kelunturan sifat kemanusiaan sejak kebelakangan ini
amat ketara dengan keganasan yang berlaku hampir setiap hari yang dilaporkan di
media.
Keruntuhan
Institusi kekeluargaan masa kini amat jelas memberi kesan kepada negara. Ini
kerana masyarakat yang kucar kacir akan melahirkan generasi yang rendah nilai
moral dan tidak mampu menerajui negara ke arah kesejahteraan dan pembangunan
rohani dan jasmani. Pembangunan dan pembentukan sesebuah institusi kekeluargaan
dalam sesuatu masyarakat itu akan menjadi faktor penentu dalam pembangunan
sesebuah negara. Bagaimanapun, selepas reda isu pembuangan bayi, isu anak buang
ibu bapa pula semakin bercambah kebelakangan ini. Bagaikan tiada pegangan agama
atau pun jahil tentang hukum halal haram. Ada anak yang sanggup meninggalkan
bapa di pusat jagaan bukan Islam kerana tidak sanggup menjaganya.
Selain
daripada itu, masyarakat semakin hilang kekuatan pegangan agama dan terdedah
kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral.
Kepincangan sistem sosial yang tidak berlandaskan Islam di dalam kehidupan
masyarakat dapat dirasai sama ada kita hidup di negara-negara yang dipimpin
oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam. Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang
dipertahankan oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai
melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti
agama, emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan
bertanggungjawab.
Pada zaman yang serba
moden ini kita sering mendengar dan terbaca di muka akhbar tentang permasalahan
dan isu seperti keruntuhan masyarakat . Sebagai contoh kes pembuangan
anak luar nikah, kes penderaan kanak-kanak, kes penceraian dan sebagainya. Itu
semua terjadi adalah di sebabkan longgarnya pegangan agama dalam diri mereka. Keruntuhan institusi
kekeluargaan akan berlaku jika ajaran agama tidak menjadi keutamaan dalam
sesebuah institusi keluarga. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang
harmoni dan bahagia.
Akibat daripada perbuatan yang melanggar batas
agama seperti berjudi, meminum minuman keras, zina dan sebagainya akan
mengundang pelbagai masalah yang akhirnya menyebabkan sesuatu institusi akan
hancur. Tiada lagi wujudnya kebahagian dan keharmonian dalam institusi keluarga
berkenaan. Keharmonian dalam kekeluargaan tidak akan wujud andainya
perbuataan seperti maksiat dan penzinaan berleluasa. Cara
hidup individu atau masyarakat yang semakin jauh dari ajaran agama menyebabkan
masyarakat hilang panduan dalam melaksanakan kehidupan seharian.
Perkara-perkara
yang ditegah di dalam ajaran agama tidak diendahkan oleh masyarakat kerana
mereka beranggapan cara hidup moden tidak ada batasan dalam melakukan sesuatu
perkara. Itu menjadikan seseorang itu hilang nilai murni dalam diri mereka dan
seterusnya memberi kesan kepada institusi keluarga apabila mereka mengabaikan
panduan hidup yang berasaskan kehidupan
beragama. Tidak seharusnya kita sebagai makhluk ciptaan tuhan mengabaikan apa
yang telah diperintahkan kepada kita. Terlalu banyak kesan buruk yang boleh
berlaku dalam institusi keluarga jika mengabaikan ajaran agama yang men jadi
panduan hidup kita untuk mencapai kebahagiaan sama ada di dunia dan di akhirat.
Tambahan
pula, Institusi kekeluargaan merupakan asas utama dalam
pembentukan generasi bermoral dan tempat anak-anak menerima pendidikan awal
seperti didikan agama yang boleh membentuk peribadi yang baik dalam diri
seseorang itu. Apabila kekacauan dan kelemahan berlaku ianya akan
mempengaruhi perkembangan hidup anak-anak. Contohnya apabila berlakunya
pergaduhan, kemiskinan, kesibukan keluarga, penceraian dan jahil dari segi ilmu
agama dan menyebabkan anak-anak terbiar tanpa perhatian.
Segala masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya ajaran agama Islam
diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Islam telah menggariskan beberapa
panduan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat termasuklah dalam
masalah kekeluargaan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menerapkan
nilai-nilai Islam kepada ahli keluarga mereka. Sekiranya ajaran Islam itu tidak
dipraktikkan maka akan memberi kesan yang buruk kepada hubungan kekeluargaan di
dalam sesebuah masyarakat.
Terdapat banyak kesan negatif akibat
daripada kelonggaran pegangan agama. Disebabkan kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah institusi keluarga maka
wujudlah permasalahan yang boleh meruntuhkan institusi keluarga tersebut. Antara salah satu contoh
kesan keruntuhan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat jika sesebuah
keluarga mengalami masalah seperti penceraian. Penceraian
berlaku adalah disebabkan oleh suami yang tidak memberi nafkah, tidak
menunaikan tanggungjawab dengan baik serta kurang ilmu dalam hal pengurusan
rumah tangga dan juga yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Hal-hal ini
boleh menyebabkan keadaan rumah tangga menjadi tidak teratur dan akan
menyebabkan berlakunya masalah dalam rumah tangga. Anak mereka yang akan
banyak mengalami kesan buruk. Seperti jiwa mereka akan terganggu dan akan
menjadi trauma apabila dewasa , lagi – lagi apabila ingin mendirikan
rumahtangga. Selain itu juga, anak – anak akan kehilangan kasih sayang dari ibu
atau bapa mereka. Di samping itu juga mereka akan hilang tumpuan pelajaran dan
sedikit sebanyak menghancurkan masa depan mereka.
Berbagai lagi ragam krisis akhlak
dan moral kini terus menular dan merebak dalam masyarakat kita khasnya di
kalangan remaja akibat daripada kelonggaran pegangan agama dalam diri mereka. Daripada kes bohsia, hamil luar
nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan,
gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah
kepada mat rempit. Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Ternyata
bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik,
pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya masih jauh untuk dapat
menangani kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari
kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan, kongsi gelap, dadah,
bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah,
trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya lebih berpengaruh dari asuhan
institusi pendidikan yang sedia ada.
Kebanyakan perkara tersebut terjadi
akibat daripada kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama walaupun telah
dididik sejak di bangku sekolah lagi. Antara perkara yang
boleh meruntuhkan institusi keluarga yang telah dibina adalah seperti penceraian. Apabila tidak
menjadikan agama sebagai pegangan hidup
maka dengan mudah kita akan
membuat keputusan tanpa berfikir panjang tentang kesan yang boleh terjadi pada
masa akan datang. Penceraian akan dianggap jalan yang terbaik dalam menyelesaikan
masalah yang berlaku.
Jelas di
sini keruntuhan institusi keluarga
berhubung kait dengan keadaan keluarga yang tidak
teratur dan ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama
yang sewajarnya. Islam adalah agama yang benar dan
sempurna. Agama ini sangat suci dan memberi ketenangan jiwa dan rohani
seseorang. Selain itu juga, ia banyak memberi jalan penyelesaian atau langkah
seperti isu sebegini. Jika masyarakat belajar lebih mendalam tentangnya,
kehidupan mereka akan lebih bermakna, jiwa dan rohani mereka akan bebas
dan terhindar daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Islam. Oleh itu,
umat Islam perlu mengenali Islam lebih mendalam jika inginkan kesempurnaan hidup dan di
redai Allah S.W.T. di sini terdapat
banyak langkah dan cara untuk mengelakkan kita melakukan kes seperti ini.
Sebagai langkah untuk mengatasi masalah kelonggaran pegangan agama dalam diri ialah seseorang
individu perlulah membersihkan segala dosa kepada Allah( bagi yang Islam) jika
ingin ketenangan jiwa dan rohani. Jika kita dapat mendekatkan diri kepada
Allah, keimanan kita akan bertambah dan ini dapat membersihkan diri kita
daripada segala kejahatan yang di larang oleh Islam.
Oleh itu, ibu bapa khususnya bapa sebagai ketua keluarga perlu
memimpin ahli keluarganya ke jalan yang benar (Islam). Cara ini dapat meningkat
akhlak yang mulia. Selain itu juga, keimanan yang dimiliki oleh pasangan institusi
ahli keluarga dapat memupuk akhlak anak – anak. Kehidupan dalam
rumah tangga adalah hasil daripada akhlak yang mulia dan terpuji. Selain itu
juga, kita perlulah bertakwa kepada yang maha Esa iaitu Allah S.W.T. Pembinaan
institusi kekeluargaan Islam perlulah berasaskan rasa takwa kepada Allah untuk
mencari keredhaan.
Tanpa takwa dan keredhaan Nya institusi kekeluargaan tidak dapat
berjalan di atas landasan yang benar. Kewujudan institusi kekeluargaan adalah
ibadah di sisi Allah. Jika kita leka dan alpa pada konsep takwa ini kemungkinan
besar risiko yang tidak di ingini akan berlaku, seperti cerai, keruntuhan
akhlak anak – anak, kehidupan sering kucar - kacir dan sebagainya. Walaubagaimana
pun, pergaulan dan kehidupan bersama secara baik yang diredhai Allah adalah
amat penting bagi setiap umat Islam. Kelakuan seperti maksiat, kezaliman dapat
dihindari kerana mengikut perkara yang diredhai Allah S.W.T.
Pergaulan dalam rumah tangga perlulah tidak bertentangan dengan
perkara yang dilarang oleh Nya, batas – batas pergaulan adalah amat penting
bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang dilarang oleh Islam. Zaman moden
ini kita telah banyak mendengar berita buruk tentang kes pembuangan bayi dan
sebagai nya. Ini adalah contoh bahawa konsep ini kurang digunakan di kalangan
umat Islam kini. Sehubungan itu Allah ada menyebut bahawa pergaulan perlulah di
redhainya kerana kesan buruk banyak berlaku sekiranya kita tidak patuh
pada perintahnya. Seterusnya bapa khususnya perlulah membimbing ahli
keluarganya pergi ke majlis ilmu seperti, ceramah, membaca Al- Quran dan
sebagainya. Cara ini memberi banyak kesan yang baik kepada kita. Jika kita sering
mendekatkan diri kepada Allah, kehidupan dan amalan kita akan diredhai.
Mendalami ilmu agama penting untuk diri
kita malah dapat menjauhkan kita daripada melakukan perkara yang bercanggah
oleh ajaran setiap agama.
Selain itu didikan agama daripada ibu bapa adalah sangat penting
untuk memastikan anak mereka diterapkan dengan nilai-nilai murni yang di ajar
dalam agama yang mereka anuti supaya terhindar daripada melakukan aktiviti yang
boleh merosakkan institusi keluarga. Anak-anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum
digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi
berlian yang indah dan berkilauan. Jelasnya, ibu bapalah yang akan menentukan
sama ada anak-anaknya `menjadi' atau tidak. Dalam proses mendidik anak-anak,
Islam menekankan konsep kasih sayang, penghormatan dan ketegasan. Ini penting
agar keperluan fitrah, potensi diri dan nilai-nilai mulia dapat dibangunkan
dalam jiwa anak-anak.
Kesimpulannya,
kelonggaran pegangan agama sememangnya menjadi punca kepada keruntuhan
institusi keluarga. Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat
penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas
dalam pembentukan masyarakat. Kepentingan institusi ini jelas apabila Allah S.W.T.
mengadakan undang-undang dalam urusan kekeluargaan yang disebut sebagai
munakahat . Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi
individu yang baik kerana dari peribadi yang baik akan terbina keluarga yang
baik, dari keluarga yang baik akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan
mantap, seterusnya dari masyarakat yang berdisiplin akan tertegak negara yang
cemerlang dan diredai oleh Allah S.W.T. Pembentukan keluarga adalah penting
untuk mengekalkan kesinambungan generasi manusia kerana pengabaian pembentukan
institusi keluarga akan membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat dan memelihara
akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Selain
itu, institusi keluarga bertujuan untuk mencapai kebahagian, keharmonian,
kebaikan, kasih sayang sesama manusia, kepuasan rohani serta jasmani dan membentuk
umat yang kuat dan mantap kerana individu yang kukuh dan kuat dibentuk oleh ibu
bapa serta mencetus dan memupuk semangat
pengorbanan, tolong-menolong, kerjasama dan perpaduan dalam jiwa setiap anggota
keluarga. Sebuah masyarakat Islam yang beriman mampu menghadapi dan
bersama-sama dengan masyarakat agama lain untuk membentuk sebuah negara yang
aman, makmur, maju dan berakhlak. Ini dapat dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu
Baginda membina masyarakat Islam pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi.