Wednesday, August 28, 2013

kelonggaran pegangan agama



SOALAN 2    :           KELONGGARAN PEGANGAN AGAMA MENJADI PUNCA
  KEPADA KERUNTUHAN   INSTITUSI KELUARGA.

Sesebuah institusi keluarga wujud adalah disebabkan berlakunya suatu ikatan perkahwinan. Perkahwinan adalah suatu ikatan yang teguh di antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah untuk menjalani kehidupan rumahtangga sebagai suami dan isteri. Perkahwinan yang disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Keluarga merupakan satu komponen penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan seterusnya membentuk sebuah negara.
Tanpa institusi kekeluargaan, pembentukan sesebuah negara tidak akan sempurna. Islam memandang institusi kekeluargaan sebagai sebuah institusi yang akan menjadi pencorak kepada masyarakat yang bakal dibina. Dalam agama Islam, tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada asasnya terletak di bahu kaum lelaki. Institusi keluarga merangkumi semua ahli keluarga yang berada di dalam sesebuah kumpulan masyarakat yang mempunyai hubungan darah atau dengan kata lain disebut bersaudara. Kita biasa mendengar ungkapan ini, “Keluarga bahagia, Negara Sejahtera”. Sebenarnya ungkapan yang cukup ringkas ini mempunyai makna yang amat besar bagi masyarakat kita khususnya generasi muda hari ini.
Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, semakin ramai manusia Islam yang telah jauh menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar. Tiada lagi manusia yang mengamalkan nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang terkandung di dalam al-Quran. Nilai moral kini sangat berubah dan menyimpang. Hal ini amat membimbangkan kerana anak-anak sekarang merupakan pemimpin masa hadapan. Sebuah institusi keluarga yang terbentuk dalam kumpulan masyarakat boleh memberi kesan kepada kesejahteraan negara.
 Konsep lain yang boleh diketengahkan bagi melambangkan kepentingan sebuah institusi keluarga yang bahagia adalah seperti anggota badan  dengan kesihatan tubuh badan kita. Anggota badan umpama sebuah negara dan kesihatan tubuh badan umpama sebuah institusi keluarga. Tanpa tubuh badan yang sihat, anggota badan akan menjadi lemah tidak bermaya. Begitu juga dengan negara kita, tanpa sebuah institusi keluarga  yang bahagia maka negara akan mengalami kepincangan atau dalam kata lain tidak sempurna kerana sebuah negara itu memerlukan masyarakat yang berkebolehan, berfikiran jauh, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan sebagainya.
Masalah yang timbul dalam institusi keluarga boleh menyebabkan gangguan dalam pembentukan diri seseorang dari segi fizikal mahupun mental. Institusi keluarga amat penting dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera dan negara yang membangun. Antara peranan penting institusi keluarga menurut Islam adalah untuk pengekalan dan penerusan umat manusia. Apabila wujudnya sebuah institusi keluarga maka akan lahir generasi baru hasil daripada ikatan perkahwinan yang sah iaitu zuriat atau cahaya mata (anak). Selain itu, institusi keluarga juga berperanan sebagai perlindungan akhlak dan tatasusila apabila seorang ketua keluarga(bapa) bertanggungjawab memastikan  setiap ahli keluarganya iaitu isteri dan anak-anaknya supaya mematuhi ajaran agama dan menggalakkan mereka berkelakuan baik dan bersopan santun. Institusi keluarga juga dapat menjamin sosial dan ekonomi apabila melahirkan generasi baru yang  bijaksana  apabila mereka mampu memantapkan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

Kelonggaran pegangan agama menjadi punca utama kepada keruntuhan institusi keluarga. Terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan keruntuhan institusi keluarga antaranya ialah tiada persefahaman antara suami isteri, tidak berusaha mewujudkan sikap bertolak ansur antara satu sama lain, tiada komunikasi yang baik dan banyak lagi. Tetapi di sini, faktor utama yang akan dikupas adalah berkaitan dengan kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah keluarga yang kebanyakannya terjadi pada masa kini.
 Sebagaimana yang kita ketahui, setiap  manusia mempunyai pegangan agama masing-masing sama ada seseorang itu menganut agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya. Semua agama mengajar penganutnya melakukan perkara yang baik dan taat kepada setiap ajarannya. Dalam institusi keluarga, pegangan agama yang kukuh dapat menjamin keutuhan rumah tangga serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Malangnya, kebanyakan masyarakat tidak mengamalkannya.
 Punca berlakunya kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah institusi keluarga adalah disebabkan kurangnya pengetahuan ilmu agama dalam diri seseorang. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan setiap ahli keluarga mereka mentaati agama yang dianuti. Sebaliknya yang berlaku pada masa kini, mereka lebih mementingkan kerjaya dan kesenangan di dunia tanpa memikirkan soal agama. Era pembangunan kini, kebanyakan ibu bapa tidak mementingkan ilmu keagamaan, mereka lebih mementingkan kebendaan dan kemewahan dunia berbanding di akhirat. Ini menyebabkan anak-anak tidak tahu batas-batas pergaulan yang sewajarnya. Justeru itu, terjadilah pergaulan bebas, kurang nilai-nilai murni dan sebagainya, ini menyumbangkan kepada gejala pembuangan bayi.

Mereka  seolah-olah mengikuti pemikiran pasca-modenisme yang merupakan satu bentuk pemikiran manusia yang tercetus sejak seabad yang lalu. Ini adalah kerana pemikiran ini khususnya kepada pemikiran barat dan pemikiran kepada akal manusia semata-mata bagi meneruskan kehidupan di dunia tanpa berpandukan kepada agama dan tuhan untuk memahami kepada kebenaran kehidupan hanyalah bergantung kepada penekanan rasional  manusia semata-mata.
Antara punca lain kelonggaran pegangan agama dalam sesebuah masyarakat adalah disebabkan kurangnya didikan agama dalam diri. Malahan ajaran agama yang sedia ada tidak dihayati sepenuhnya. Mereka seolah-olah meletakkan agama di tempat kedua manakala kemewahan dan kesenangan di dunia di tempat pertama. Kepentingan kerjaya melebihi kepentingan agama dan keluarga. Bagi mereka mencari nafkah adalah penting untuk membahagiakan keluarga tanpa mereka sedari yang anak-anak memerlukan belaian dan kasih sayang dari mereka bukan harta dan kemewahan semata-mata.
 Ketekunan ibu bapa dalam bekerja sehingga lupa akan kewajipan sebagai umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu , membayar zakat, berpuasa dan sebagainya dengan alasan sibuk mencari nafkah. Apabila ibu bapa sering tiada di rumah untuk pergi bekerja, anak-anak mereka akan merasa kesunyian dan akan mencari sesuatu yang baru untuk menghilangkan rasa bosan tinggal di rumah seorang diri. Akibatnya, ramai kanak-kanak dan remaja bawah umur terjebak dengan gejala sosial dan pergaulan bebas. Mereka tidak diterapkan dengan ilmu  agama yang mendalam sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas agama.

Selain itu, kejahilan ibu bapa dan diri sendiri untuk menuntut ilmu agama juga menyebabkan kelonggaran pegangan agama dalam diri lemah sehingga mengakibatkan keruntuhan institusi keluarga.  Walaupun  sedang bekerja, sebagai orang yang beragama mereka seharusnya taat kepada kewajipan yang telah ditetapkan seperti dalam Islam, solat apabila tiba waktunya. Sesetengah mereka beranggapan hanya kanak-kanak sahaja yang perlu belajar ilmu agama. Rasa malu untuk mendalami ilmu agama dalam usia yang meningkat menyebabkan mereka jahil akan kehidupan mereka. Bagi mereka cukuplah sekadar tahu serba sedikit tentang agama dan tidak perlu mendalaminya dengan lebih mendalam. Jadilah mereka seperti kata pepatah “ bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Dalam erti katalain, ibu bapa yang tidak tahu tentang agama atau tidak mengamalkannya tetapi menyuruh anak- anak mereka mempelajari dan menyuruh mereka taat mengamalkannya.
Masalah  kelonggaran pegangan agama menjadikan remaja semakin bermasalah. Sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian kepada mereka menyebabkan sifat ingin memberontak timbul. Akibatnya, mereka gemar bergaduh dan melakukan perkara di luar jangkaan seperti mengambil dadah, melakukan seks bebas dan yang lebih parah  pembuangan  bayi yang tidak sah tarafnya. Ibu bapa juga menjadi stress akibat tekanan daripada masalah anak-anak mereka serta kerja yang membebankan dan memenatkan.  Iman yang lemah menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.
Taraf pendidikan yang rendah juga menyebabkan seseorang itu sering membuat keputusan tanpa berfikir panjang yang akhirnya boleh meruntuhkan institusi keluarga. Akibat daripada tidak berfikir panjang dalam menyelesaikan sesuatu masalah, pergaduhan dalam keluarga akan sering tercetus. Selain itu, golongan yang sebegitu sering menggunakan emosi dan kekerasan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Berbeza dengan orang yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, mereka dapat memikirkan cara yang lebih baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah tanpa menggunakan emosi atau kekerasan.
Kemelut rumahtangga yang melanda masyarakat melayu masa kini amat menyedihkan. Selain daripada kes penceraian masalah penderaan anak-anak dan isteri, masalah pembuangan bayi, pergaduhan suami isteri, nasib ibu bapa yang dihantar ke rumah orang-orang tua dan banyak lagi masalah yang berkait rapat dengan keluarga dan perkahwinan menyebabkan masyarakat berdepan dengan masalah keruntuhan akhlak yang semakin serius. Malah kelunturan sifat kemanusiaan sejak kebelakangan ini amat ketara dengan keganasan yang berlaku hampir setiap hari yang dilaporkan di media.
Keruntuhan Institusi kekeluargaan masa kini amat jelas memberi kesan kepada negara. Ini kerana masyarakat yang kucar kacir akan melahirkan generasi yang rendah nilai moral dan tidak mampu menerajui negara ke arah kesejahteraan dan pembangunan rohani dan jasmani. Pembangunan dan pembentukan sesebuah institusi kekeluargaan dalam sesuatu masyarakat itu akan menjadi faktor penentu dalam pembangunan sesebuah negara. Bagaimanapun, selepas reda isu pembuangan bayi, isu anak buang ibu bapa pula semakin bercambah kebelakangan ini. Bagaikan tiada pegangan agama atau pun jahil tentang hukum halal haram. Ada anak yang sanggup meninggalkan bapa di pusat jagaan bukan Islam kerana tidak sanggup menjaganya.
Selain daripada itu, masyarakat semakin hilang kekuatan pegangan agama dan terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Kepincangan sistem sosial yang tidak berlandaskan Islam di dalam kehidupan masyarakat dapat dirasai sama ada kita hidup di negara-negara yang dipimpin oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam. Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti agama, emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan bertanggungjawab.
Pada zaman yang serba moden ini kita sering mendengar dan terbaca di muka akhbar tentang permasalahan dan isu seperti  keruntuhan masyarakat . Sebagai contoh kes pembuangan anak luar nikah, kes penderaan kanak-kanak, kes penceraian dan sebagainya. Itu semua terjadi adalah di sebabkan longgarnya pegangan agama dalam diri mereka. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku jika ajaran agama tidak menjadi keutamaan dalam sesebuah institusi keluarga. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang harmoni dan bahagia.
 Akibat daripada perbuatan yang melanggar batas agama seperti berjudi, meminum minuman keras, zina dan sebagainya akan mengundang pelbagai masalah yang akhirnya menyebabkan sesuatu institusi akan hancur. Tiada lagi wujudnya kebahagian dan keharmonian dalam institusi keluarga berkenaan.  Keharmonian dalam kekeluargaan tidak akan wujud  andainya perbuataan seperti maksiat dan penzinaan  berleluasa. Cara hidup individu atau masyarakat yang semakin jauh dari ajaran agama menyebabkan masyarakat hilang panduan dalam melaksanakan kehidupan seharian.
Perkara-perkara yang ditegah di dalam ajaran agama tidak diendahkan oleh masyarakat kerana mereka beranggapan cara hidup moden tidak ada batasan dalam melakukan sesuatu perkara. Itu menjadikan seseorang itu hilang nilai murni dalam diri mereka dan seterusnya memberi kesan kepada institusi keluarga apabila mereka mengabaikan panduan hidup   yang berasaskan kehidupan beragama. Tidak seharusnya kita sebagai makhluk ciptaan tuhan mengabaikan apa yang telah diperintahkan kepada kita. Terlalu banyak kesan buruk yang boleh berlaku dalam institusi keluarga jika mengabaikan ajaran agama yang men jadi panduan hidup kita untuk mencapai kebahagiaan sama ada di dunia dan di akhirat.
Tambahan pula, Institusi kekeluargaan merupakan asas utama dalam pembentukan generasi bermoral dan tempat anak-anak menerima pendidikan awal seperti didikan agama yang boleh membentuk peribadi yang baik dalam diri seseorang itu. Apabila kekacauan dan kelemahan berlaku ianya akan mempengaruhi perkembangan hidup anak-anak. Contohnya apabila berlakunya pergaduhan, kemiskinan, kesibukan keluarga, penceraian dan jahil dari segi ilmu agama dan menyebabkan anak-anak terbiar tanpa perhatian. Segala masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya ajaran agama Islam diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat termasuklah dalam masalah kekeluargaan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menerapkan nilai-nilai Islam kepada ahli keluarga mereka. Sekiranya ajaran Islam itu tidak dipraktikkan maka akan memberi kesan yang buruk kepada hubungan kekeluargaan di dalam sesebuah  masyarakat.
            Terdapat banyak kesan negatif akibat daripada kelonggaran pegangan agama. Disebabkan kelonggaran pegangan  agama dalam sesebuah institusi keluarga maka wujudlah permasalahan yang boleh meruntuhkan institusi keluarga tersebut. Antara salah satu contoh kesan keruntuhan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat jika sesebuah keluarga mengalami masalah seperti penceraian. Penceraian berlaku adalah disebabkan oleh suami yang tidak memberi nafkah, tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik serta kurang ilmu dalam hal pengurusan rumah tangga dan juga yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Hal-hal ini boleh menyebabkan keadaan rumah tangga menjadi tidak teratur dan akan menyebabkan berlakunya masalah dalam rumah tangga. Anak mereka yang akan banyak mengalami kesan buruk. Seperti  jiwa mereka akan terganggu dan akan menjadi trauma apabila dewasa , lagi – lagi apabila ingin mendirikan rumahtangga. Selain itu juga, anak – anak akan kehilangan kasih sayang dari ibu atau bapa mereka. Di samping itu juga mereka akan hilang tumpuan pelajaran dan sedikit sebanyak menghancurkan masa depan mereka.
                Berbagai lagi ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular dan merebak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja akibat daripada kelonggaran pegangan agama dalam  diri mereka. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya masih jauh untuk dapat menangani kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan, kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.
Kebanyakan perkara tersebut terjadi akibat daripada kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama walaupun telah dididik sejak di bangku sekolah lagi. Antara perkara yang boleh meruntuhkan institusi keluarga yang telah dibina  adalah seperti penceraian. Apabila tidak menjadikan agama sebagai pegangan hidup  maka  dengan mudah kita akan membuat keputusan tanpa berfikir panjang tentang kesan yang boleh terjadi pada masa akan datang. Penceraian akan dianggap jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

Jelas di sini keruntuhan institusi keluarga berhubung kait dengan keadaan keluarga yang tidak teratur dan ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sewajarnya.  Islam adalah agama yang benar dan sempurna. Agama ini sangat suci dan memberi ketenangan jiwa dan rohani seseorang. Selain itu juga, ia banyak memberi jalan penyelesaian atau langkah seperti isu sebegini. Jika masyarakat belajar lebih mendalam tentangnya, kehidupan mereka akan lebih bermakna,  jiwa dan rohani mereka akan bebas dan terhindar daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Islam. Oleh itu, umat Islam perlu mengenali Islam lebih mendalam jika  inginkan kesempurnaan hidup dan di redai Allah S.W.T. di sini terdapat banyak langkah dan cara untuk mengelakkan kita melakukan kes seperti ini. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah kelonggaran pegangan agama dalam diri  ialah seseorang individu perlulah membersihkan segala dosa kepada Allah( bagi yang Islam) jika ingin ketenangan jiwa dan rohani. Jika kita dapat mendekatkan diri kepada Allah, keimanan kita akan bertambah dan ini dapat membersihkan diri kita daripada segala kejahatan yang di larang oleh Islam.
Oleh itu, ibu bapa khususnya bapa sebagai ketua keluarga perlu memimpin ahli keluarganya ke jalan yang benar (Islam). Cara ini dapat meningkat akhlak yang mulia. Selain itu juga, keimanan yang dimiliki oleh pasangan institusi ahli keluarga dapat memupuk akhlak anak – anak.  Kehidupan dalam  rumah tangga adalah hasil daripada akhlak yang mulia dan terpuji. Selain itu juga, kita perlulah bertakwa kepada yang maha Esa iaitu Allah S.W.T. Pembinaan institusi kekeluargaan Islam perlulah berasaskan rasa takwa kepada Allah untuk mencari keredhaan.
Tanpa takwa dan keredhaan Nya institusi kekeluargaan tidak dapat berjalan di atas landasan yang benar. Kewujudan institusi kekeluargaan adalah ibadah di sisi Allah. Jika kita leka dan alpa pada konsep takwa ini kemungkinan besar risiko yang tidak di ingini akan berlaku, seperti cerai, keruntuhan akhlak anak – anak, kehidupan sering kucar - kacir dan sebagainya. Walaubagaimana pun, pergaulan dan kehidupan bersama secara baik yang diredhai Allah adalah amat penting bagi setiap umat Islam. Kelakuan seperti maksiat, kezaliman dapat dihindari kerana mengikut perkara yang diredhai Allah S.W.T.
Pergaulan dalam rumah tangga perlulah tidak bertentangan dengan perkara yang dilarang oleh Nya, batas – batas pergaulan adalah amat penting bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang dilarang oleh Islam. Zaman moden ini kita telah banyak mendengar berita buruk tentang kes pembuangan bayi dan sebagai nya. Ini adalah contoh bahawa konsep ini kurang digunakan di kalangan umat Islam kini. Sehubungan itu Allah ada menyebut bahawa pergaulan perlulah di redhainya kerana kesan buruk banyak  berlaku sekiranya kita tidak patuh pada perintahnya. Seterusnya bapa khususnya perlulah membimbing ahli keluarganya pergi ke majlis ilmu seperti, ceramah, membaca Al- Quran dan sebagainya. Cara ini memberi banyak kesan yang baik kepada kita. Jika kita sering mendekatkan diri kepada Allah, kehidupan dan amalan kita akan diredhai. Mendalami ilmu agama  penting untuk diri kita malah dapat menjauhkan kita daripada melakukan perkara yang bercanggah oleh ajaran setiap agama.
Selain itu didikan agama daripada ibu bapa adalah sangat penting untuk memastikan anak mereka diterapkan dengan nilai-nilai murni yang di ajar dalam agama yang mereka anuti supaya  terhindar daripada melakukan aktiviti yang boleh merosakkan institusi keluarga. Anak-anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Jelasnya, ibu bapalah yang akan menentukan sama ada anak-anaknya `menjadi' atau tidak. Dalam proses mendidik anak-anak, Islam menekankan konsep kasih sayang, penghormatan dan ketegasan. Ini penting agar keperluan fitrah, potensi diri dan nilai-nilai mulia dapat dibangunkan dalam jiwa anak-anak.
Kesimpulannya, kelonggaran pegangan agama sememangnya menjadi punca kepada keruntuhan institusi keluarga. Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Kepentingan institusi ini jelas apabila Allah S.W.T. mengadakan undang-undang dalam urusan kekeluargaan yang disebut sebagai munakahat . Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi individu yang baik kerana dari peribadi yang baik akan terbina keluarga yang baik, dari keluarga yang baik akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan mantap, seterusnya dari masyarakat yang berdisiplin akan tertegak negara yang cemerlang dan diredai oleh Allah S.W.T. Pembentukan keluarga adalah penting untuk mengekalkan kesinambungan generasi manusia kerana pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat dan memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Selain itu, institusi keluarga bertujuan untuk mencapai kebahagian, keharmonian, kebaikan, kasih sayang sesama manusia, kepuasan rohani serta jasmani dan membentuk umat yang kuat dan mantap kerana individu yang kukuh dan kuat dibentuk oleh ibu bapa serta  mencetus dan memupuk semangat pengorbanan, tolong-menolong, kerjasama dan perpaduan dalam jiwa setiap anggota keluarga. Sebuah masyarakat Islam yang beriman mampu menghadapi dan bersama-sama dengan masyarakat agama lain untuk membentuk sebuah negara yang aman, makmur, maju dan berakhlak. Ini dapat dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu Baginda membina masyarakat Islam pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi.                                                            

Beli makanan di Kafe UMP, Gambang

Sebenarnya dah lama nak share pasal perjalanan saya sepanjang membuat PJJ di UMP, Gambang ni. Tapi apakan daya, masa dan ruang tidak mengizi...